Monday, November 16, 2009

Warkah Buat Lelaki Bertuah


Kepada lelaki bertuah di dunia ini,

Ini aku, lelaki yang mengharap. Menulis lagi kali ini untuk kau. Aku sendiri pun tidak tahu mengapa. Maafkan aku jika warkah ini mengangu kau dan dia.

Kita berdua sama. Mencintai bidadari yang sama. Aku menulis ini hanya untuk menyisihkan kesakitan dan keperihan aku untuk mendapat sedikit ruang di sudut hatinya. Bukan untuk mencuri cinta dan sayang yang dia berikan khusus untuk diri kau. Aku tidak layak untuk merebutnya dari kau.

Aku selalu bermimpi, suatu hari dia akan membuka matanya dan menyedari betapa aku mengambil berat tentang dirinya. Atau mungkin dia akan menyedari yang aku teramat mencintai dirinya. Tapi aku tahu, dia akan mengelak untuk menyedari semua itu.


Adanya kau dalam hidup dia. Semua impian aku semakin kabur. Aku hanya lelaki yang mengharap.

Mungkin kerana kita tidak serupa. Kerana itu dia memilih kau. Aku cuma ingin menjadi diriku.
Menjadi diriku yang sebenar-benarnya.

Aku tahu kau dibesarkan dengan penuh cahaya dan kebahagiaan. Semua perhatian dan kasih sayang di dunia ini memang tercipta untuk orang-orang yang seperti kau. Aku, kegelapan dan air mata adalah mainan ku sejak dari kecil. Aku sudah lali dengan semua itu.

Kau boleh tersenyum sepanjang masa. Kerana kau punyai semua cintanya. Jangan bimbang tentang aku, aku sudah biasa dengan air mata. Air mata yang tidak membawa apa-apa makna bagi dirinya. Air mata yang selalu mendendangkan lagu sepi di setiap malam-malam ku.

Perasaan aku sangat mendalam terhadap dia. Mungkin dia tidak akan dapat melihat perasaan itu atau mungkin dia sememangnya tidak mahu melihat perasaan itu. Perasaan yang tercipta hanya untuk dirinya.

Boleh kau bantu aku? Katakanlah padanya supaya dia tidak membenci aku. Itu sudah memadai buat diri ku yang kecil ini. Aku sudah penat menjadi orang yang dibenci. Dibenci oleh orang yang aku sayang.

Kau lelaki yang sangat bertuah. Menemui realiti untuk impian aku. Aku tidak akan berkata apa-apa lagi kerana aku tahu ini semua suratan yang tertulis untuk kau dan aku.

Aku akan sentiasa mendoakan kebahagiaan kau dan dia.....

1 comment: